Sunday, December 25, 2011

Fenomena Buta Solat dan Buta Al-Qur’an

Fenomena buta solat dan buta Al-Qur’an semakin meruncing dalam kalangan generasi muda intelek ini. Walaupun membaca Al-Qur’an itu sunat, tetapi ia sangat penting untuk membolehkan seseorang membaca bacaan dengan baik dalam solat yang merupakan tiang seri agama Islam dan amal pertama hisaban di akhirat kelak. Sebab itu celik solat dan Al-Qur’an sentiasa selamanya berjalan seiringan.


Jika negara kita mensasarkan sifar buta huruf menjelang tahun 2015 sebagai menyokong Agenda Pendidikan Untuk Semua (EFA), bagaimana pula dengan agenda sifar buta solat dan buta Al-Qur’an di negara yang menjunjung Artikel 3 (1) dalam Perlembagaan Malaysia iaitu Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia? Adakah ia bukan sebahagian daripada Agenda Pendidikan Negara? Atau Agenda ini hanya untuk mereka yang tergolong dalam Golongan yang mempelajari Agama secara mendalam @ Penuntut Pengajian Islam?

Suatu ketika dulu, wujudnya Himpunan Sejuta Umat : Menyelamat ‘Aqidah (HIMPUN) yang berlangsung di Stadium Shah Alam bagi menyelamatkan Aqidah Umat Islam di Malaysia. Adakah ia cukup memadai??

Dalam Islam, aqidah perlu disempurnakan dahulu sebelum melaksanakan rukun dan aspek Islam yang lain. Malah, jika kita lihat kepada turutan Rukun Islam, yang pertama adalah mengucap syahadah (aqidah) dan kedua hingga kelima iaitu mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji (bagi yang berkemampuan) lebih menjurus kepada aspek ibadah.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mafhumnya, “Dari Abu ‘Abdal Rahman ‘Abdullah Ibn ‘Umar radiyallahu ‘anhuma katanya: Aku dengar Rasulullah S.A.W bersabda: Didirikan Islam atas lima (rukun): Syahadah (pengakuan) bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan mendirikan sembahyang, dan mengeluarkan zakat, dan mengerjakan haji di Baitullah, dan puasa di bulan Ramadhan.”

Justeru, fenomena buta solat dan Al-Qur’an dewasa ini boleh dijadikan hujah kepada permasalahan ‘aqidah dalam kalangan masyarakat Islam sendiri. Kita meyakini, kelalaian dalam menunaikan kewajipan agama terutama solat adalah bertitik-tolak daripada aqidah dan keimanan yang melemah akibat tuntutan hawa nafsu yang tiada kenal erti puas.

Dapatan sesi saringan yang lalu memberitahu penulis bahawa amalan yang paling berat dilaksanakan generasi masa kini ialah solat dan membaca serta mentadabbur Al-Qur’an. Maka, bila ditanya apakah amalan dunia yang paling mulia?, jawab Al-Fadhil Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh Keutamaan sebagaimana memetik pendapat daripada Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah yang bersandarkan kepada sebuah hadith yang tidak diketahui sanadnya, bermaksud:“Amalan yang paling baik ialah yang paling susah dan berat.” Ya, menjaga solat dan tadabbur Al-Qur’an itulah yang amalan yang terutama masing-masing pada amal perbuatan dan amal lisan di sisi Tuhan, Allah ‘Azza Wa Jalla.

Apatah lagi, amanat terakhir kepada umat tinggalannya sebelum menjelang kewafatan Baginda Saidina Rasulullah adalah tentang memelihara solat. Rasulullah S.A.W berasa sungguh khuatir umatnya tidak lagi memiliki rasa dan jiwa pada ibadah solat. Juga, firman Allah S.W.T dalam surah Al-Furqan, ayat 30 mafhumnya, “Berkatalah Rasul: Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah meninggalkan Al-Qur’an ini.

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama merenung, mengkaji dimana silapnya sehingga lahirnya generasi Islam yang buta hati pada keagungan solat dan meninggalkan Al-Qur’an dewasa ini. Tidak hairanlah kenapa aqidah senang sekali dicarik sehingga gejala murtad berleluasa, maksiat senang sekali dikerjakan sehingga fenomena zina, buang anak, dadah dan pelbagai penyakit sosial dijuarai oleh golongan manusia beragama Islam. Ini secara batiniyyahnya terjadi lantaran solat tidak menjadi perisai yang menjadi benteng ampuh mengekang hawa nafsu dan meninggalkan pegangan paling utuh iaitu Al-Quran dengan berbangga dengan rasional intelek semata.

Dicadangkan agar kempen-kempen tahsin solat dan semangat Iqra’ dihidup suburkan, diakar umbikan dalam semua institusi sosial terutama institusi keluarga, institusi pendidikan, institusi keagamaan, institusi pemerintahan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan media massa. Apalah makna Artikel 3-Islam sebagai agama Persekutuan jika masyarakat Islamnya jahil mengenai tunjang utama agamanya. Walau wujud pelbagai akta untuk mengekang penularan murtad dan menjaga kesucian agama Islam, ia sebenarnya belum cukup menjamin seseorang itu benar keIslamnya. Yang ditakuti Islam hanya pada nama, tetapi tidak pada hati, percakapan dan perlakuan. Semoga Allah memberikan kita semua taufiq dan hidayat serta ditetapkan hati hanya kepadaNya dan Islam sebagaimana yang dikatakan ‘Inna Ad- dinu ‘Indallahi al- Islam (Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam.” Wallahu’alam.



Jiwa Anak Muda

Anak muda, semangatnya mampu menggetarkan seluruh dunia.
Anak muda, suaranya mampu mengubah landskap dunia.
Anak muda, tindakannya mampu menggoyahkan si rakus pencinta dunia.
Anak muda, sentuhannya mampu mengubah sistem dunia.
Anak muda, langkahnya,menggerunkan penderhaka kepada Pemilik dunia.


"Berikan aku 100 orang tua, pasti aku tidak mampu berbuat apa-apa, berikan aku 10 anak muda,pasti kan ku goncang dunia"- kata Bung Karno (Mantan Presiden Indonesia)



Alhamdulillah..

Berasa amat bersyukur dan terharu kerana diizinkan Allah dan dimudahkan pergerakan untuk menjejakkan kaki ke masjid Hasanah kesayangan pada malam tersebut. Sungguh hari ini adalah yang dinanti bukan sahaja penulis tetapi seluruh umat Islam terutamanya yang menetap di Bandar Baru Bangi!


Pagi hari tersebut, keadaan suram menyelubungi diri ini setelah berita pemergian Syeikh Al-Allamah Al-Syahid Imad Affat Al-Syafie, seorang ulama Al-Azhar yang telah menjadi mangsa tembakan tentera dalam sebuah perhimpunan. Sungguh, penulis tidak mengenali beliau, namun suasana mendung rakan2 membawa penulis mengorek berita dan cerita insan ini. Anak muda yang merindukan pentarbiyahan dan sentuhan ilmu pasti mudah tersentuh hati melihat pemergian sang penyampai ilmu. Malah seluruh isi langit dan bumi menangisi pemergiannya. Moga Allah memberi syahid kepada beliau. Al- Fatihah.


Pagi tadi juga menyaksikan sekumpulan anak muda yang menggelar diri mereka sebagai Solidariti Anak Muda berhimpun di Dataran Merdeka dibawah payung Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS). Di fahamkan bahawa gerakan ini diwujudkan kerana anak muda hari ini sudah muak dengan segala karenah dan birokrasi kerajaan terhadap mahasiswa dan pensyarah.

Himpunan ini mempunyai dua objektif besar iaitu pertama sebagai isyarat bagi seluruh rakyat Malaysia yang sudah lama muak dengan sikap pihak pemerintah yang membelenggu rakyatnya dengan pelbagai cengkaman demi kepentingan tertentu.

“Dan yang kedua adalah bertujuan menyerahkan deklarasi tuntutan BEBAS kepada pihak kerajaan dan tidak terlepas sama kepada pihak pembangkang.”, - Pengerusi BEBAS

Dan, jam-jam terakhir penulis pada hari itu menimbulkan keghairahan penulis utuk meneruskan misi menjelajah mengutip mutiara ilmu. Malam itu menyaksikan limpahan anak muda yang berkumpul di Masjid Hasanah, bukan untuk berdemo, bukan untuk bergaduh, tetapi menngutip taburan ilmu yang disampaikan Ustaz Azhar Idrus. Sungguh penulis merasakan aura luar biasa walaupun penulis hanya melihat ustaz melalui skrin putih! Ada rasa terharu mengalir dalam diri melihat anak muda yang hadir, termasuk kanak-kanak kecil.


Penuh dengan kehadiran mencecah 7000 orang


Sungguh, penulis dapat merasa satu aura dan semangat melihat ini semua. Untuk pegetahuan, solat isyak terpaksa dibuat berjemaah sebanyak dua kali, kerana ruang yang tidak mencukupi. Allahu Akbar!. Siapa kata anak muda hanya rindukan hiburan? Siapa kata anak muda bencikan budaya keilmuan? Siapa kata taman syurga hanya dijengah golongan berusia? Moga semua mendapat redhaNya.