Friday, November 4, 2011

Seksualiti Merdeka 2011....



Negara kita Malaysia telah digemparkan dengan program Seksualiti Merdeka 2011 yang kononnya berteraskan perjuangan "Human Right" iaitu program yang menuntut hak dan kebebasan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual [LGBT] untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka. Program ini bertemakan "Queer Without Fear" yang berlangsung pada 2 Nov 2011 hingga 13 Nov 2011 di The Annaxe Gallery.




Saya dengan ini menyeru kepada semua pihak untuk membantah penganjuran Program Seksualiti Merdeka 2011 ini kerana ia amat bertentangan dengan norma budaya segenap lapisan masyarakat yang wujud di Malaysia. Ia adalah satu bentuk kemungkaran yang tidak wajar diperjuang dan diamalkan, bahkan ia sangat menyentuh sensitiviti ummat manusia yang menjalani kehidupan normal. Bukan agama Islam sahaja yang melarang hubungan sejenis ini tetapi agama Buddha, Hindu bahkan Kristian sekalipun melarang hubungan sejenis mahupun ‘kemerdekaan gender’ yang penganjur Program Seksualiti Merdeka 2011 mahukan sekarang.


Semuanya sekarang mahukan rasa hidup bebas tanpa sekatan dan pegangan agama. Islam adalah agama fitrah sementara fitrah manusia ialah hidup berpasang-pasangan antara lelaki dan perempuan. Justeru itu, perkahwinan yang sah di sisi Islam hanyalah perkahwinan yang melibatkan lelaki dengan pasanganya perempuan yang bukan mahramnya. Sementara perkahwinan atau hubungan sesama jenis adalah suatu noda yang dilarang oleh Islam ke atas penganutnya kerana ia jelas bertentangan dengan fitrah kejadian atau ciptaan manusia di atas muka bumi.

Firman Allah swt:


وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah ar Ruum: ayat 21)

Apa sebenarnya halatuju Program Seksualiti Merdeka 2011 ini?

  • · Menyokong dan memperkasa (empower) golongan lesbian, gay, bisexual and transgender (LGBT) kerana mereka mendakwa Malaysia mengamalkan diskriminasi ke atas golongan tersebut

Kecenderungan mengamalkan kehidupan gay, lesbian dan biseksual ini adalah bertolak dari nafsu yang tidak dikawal. Sungguhpun mereka tampil dengan prinsip perjuangan Human Right, Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri mengenai perkara ini, Islam telah menganjurkan ummat manusia supaya berkahwin secara normal dan menggariskan kaedah kawalan nafsu bagi mereka yang tidak mampu melakukannya. Seperti sabda Rasulullah saw dari Ibnu Masuud radhiyallahu 'anhu :

يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج ، ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء

Wahai sekelian anak muda ! barangsiapa yang mampu [dan bersedia untuk berkahwin] dari kalangan kamu, maka berkahwinlah, sesungguhnya perkahwinan itu membantu menundukkan pandangan, memelihara kemaluan dan barangsiapa yang tidak mampu melakukannya, maka berpuasalah kerana sesungguhnya puasa itu adalah perisai [dirinya agar tidak terjerumus dalam kancah keruntuhan sosial]. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Asas larangan tersebut adalah untuk memelihara fitrah manusia sekaligus mempertahankan tamaddun ummah dari kepincangan sosial dan malapetaka yang bakal menimpa ekoran tercetusnya kemurkaan Allah swt. sebagaimana murkanya Allah swt ke atas kaum Nabi Luth as. yang mengamalkan gaya hidup homoseksual.

Budaya gay dan lesbian adalah budaya songsang yang tidak sewajarnya diperjuangkan dan diamalkan oleh ummat manusia amnya dan ummat Islam khasnya. Malah ia sangat bertentangan dengan nilai moral dan fitrah kemanusiaan serta tamaddunnya. Jika budaya ini menjadi amalan bagi manusia selaku penduduk di bumi ini, nescaya suatu ketika kelak akan pupuslah generasi ummat manusia sedang Nabi saw berbangga dengan lahir ummatnya yang ramai.

Usah lari dari fitrah dan meninggalkan kehidupan beragama kerana jiwa tidak tenteram dan tidak pun boleh menyelesaikan masaalah. Sebagai contoh pengalaman hidup yang dialami oleh Elthon John sendiri selepas beliau berkahwin dengan kaum sejenis atau pasangan gaynya, keinginan atau naluri mahu memiliki anak tetap menguasai dirinya lalu mendorong beliau mendapatkan anak melalui ibu tumpang.


Terdapat 2 perkara yang tidak boleh menyelesaikan masaalah dan konflik jiwa mereka.

  1. perkahwinan sejenis yang mereka amalkan tidak boleh memenuhi kehendak mereka untuk memiliki seorang anak.
  2. biarpun mereka boleh mendapatkan anak melalui proses ibu tumpang, mereka tetap tidak boleh memenuhi hasrat naluri mereka untuk memiliki anak kandung yang tentunya hadir secara fitrah.

Sedangkan dua perkara inilah antara pelengkap kebahagiaan dan kasih sayang dalam kehidupan berumahtangga bersama pasangan hidup sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Rumahtangga yang dibina melalui perkahwinan sejenis ini hanya mungkin boleh mencapai kepuasan dari sudut melampiaskan nafsu seksual tetapi jiwa mereka meronta mencari sebuah ketenangan hakiki.

Sabda Rasulullah saw

تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم يوم القيامة

Kahwinilah olehmu akan perempuan yang penyayang dan mampu melahirkan anak kerana sesungguhnya aku sangat berbangga dengan ramainya ummatku diakhirat kelak. (Riwayat Imam Ahmad).