Sunday, October 17, 2010

Antara Sebab Mengapa Mengantuk Di Kelas?



SEBUT sahaja ceramah, semua akan mengantuk. Benar? Ya, saya percaya anda semua turut mengalaminya. Bukan saya seorang, bukan kepada ibu-ibu, tidak hanya golongan remaja bahkan semua di dunia ini pasti mengalami.

Bagi yang sedang berada di alam persekolahan atau pun universiti, suasana di dalam kelas dan dewan kuliah sudah tentu membuatkan anda semua mengantuk, terutama ketika guru dan pensyarah sedang mengajar. Mengapa boleh jadi begini?

Kali ini, saya akan bawakan 5 sebab utama mengapa pelajar-pelajar mengantuk di dalam kelas.

  1. Tiada persediaan – Ya, ramai di kalangan pelajar tidak kira di alam persekolahan atau pun ketika di alam universiti yang tidak membuat persediaan yang cukup sebelum ke kelas. Apabila anda tidak membaca dahulu apa yang akan diajar oleh guru dan pensyarah pada hari tersebut, anda akan cepat hilang tumpuan. Yalah, apa yang diajar oleh guru anda tidak pernah pun tahu. Bagaimana mahu rasa seronok? Macamana ingin merasa mudah ketika guru mengajar? Justeru, pastikan anda membaca dahulu apa yang akan disampaikan oleh guru atau pensyarah pada hari tersebut sebelum ke kelas.
  2. Kurang tidur – Ramai yang beranggapan bahawa, tidur lewat adalah jalan penyelesaian terbaik untuk score di dalam peperiksaan. Ya, benar. Ramai orang berjaya yang berbuat demikian. Tidur lewat untuk mengulangkaji pelajaran. Tapi lebih ramai orang berjaya yang tidak mengamalkan kaedah sedemikian. Apabila anda tidur lewat, anda akan mengantuk di dalam kelas. Dan apa yang cikgu dan pensyarah ajar anda akan kurang faham. Justeru mengapa tidur lewat?
  3. Tidak fokus - Percayakah anda kalau saya katakan bahawa lebih separuh peratus pelajar-pelajar yang tidak memberikan perhatian ketika guru atau pensyarah mengajar di kelas. Kelas dan dewan kuliah bukan tempat untuk anda berangan atau membiarkan fikiran anda bebas menanar ke mana-mana. Pensyarah, guru perasan kalau anda berangan. Pensyarah nampak. Justeru, sebelum ke kelas, ikhlaskan hati. Betulkan semula niat. Ya, aku hendak ke kelas untuk mengutip seberapa banyak ilmu. Buat begitu, insyaAllah segala yang diajar akan lekat di minda.
  4. Kurang minat – Mengapa tidak minat? Bosan? Kalau anda ingin berjaya, anda harus minat. Ya, anda wajib untuk menyukai setiap pelajaran dan subjek yang anda ambil. Apa guna anda belajar subjek berkenaan jika anda sendiri tidak minat subjek itu. Ingat, sesuatu yang sukar itu seringkali bermula dengan yang sukar-sukar. Kuatkan hati, tanamkan azam yang jitu. Tambahkan minat terhadap mata pelajaran yang kurang diminati. Lakukanlah apa sahaja untuk memastikan anda minat dan seronok terhadap tajuk dan subjek berkenaan.
  5. Fizikal dan Mental : Ya, kekadang itu kita tidak sedar bahawa mental dan fizikal kita juga perlu rehat yang mencukupi. Dapatkah anda bayangkan sebuah kereta yang bergerak 24 jam tanpa henti dan ia terus bergerak lagi untuk 24 jam yang seterusnya tanpa henti. Apa akan terjadi? Ya, begitu juga tubuh kita. Manusia bukannya robot. Robot juga kalau tidak digunakan dengan sebaiknya akan rosak. Justeru, pastikan anda mendapat rehat yang secukupnya. Rehat fizikal, rehat juga minda. Buanglah segala masalah yang sedang melanda dan mengusutkan anda. Semoga anda menjadi manusia paling berjaya!

Thursday, October 14, 2010

Kenapa aku masih solo????

Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk keseberang.

Kalau panjang jambatannya, jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat.

Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan.

Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda dalam doa-doa lewat solat. Allah itu Maha Mendengar.

Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Yakinlah pada janji-Nya kerana kita orang yang beriman.

Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr. Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti.

Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini.

Tips: Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang di dunia ini.

Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.

Kita juga selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah dihati kita, alangkah bahagianya orang itu.

Hakikatnya, apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah, kita ditimpa pelbagai karenah.

Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh dihadapan.

Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang motosikal itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju.

Padahal si penunggang motosikal sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan.

Tips: Agar mudah orang sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.

Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda pasti ada baik dan buruknya.

Demikian juga perkahwinan.

Ia baik sebagai saluran yang betul untuk melepaskan syahwat tapi ramai juga orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus.

Ramai orang menempah neraka sebaik melangkahkan kaki kealam berumahtangga.

Bukankah dangan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut bertambah?

Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asal impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu bergelar ibu ayah, belajarlah dulu.

Jika belum bersedia untuk bersabar dengan karenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu.

Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi setelah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti segala tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk menjadikan syurga sebagai matlamat.

Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara berterusan hingga berjaya.

Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya.

Berkahwinlah demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan kerana perasaan dan mengikut kebiasaan.

Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai.

Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, kemana menghilangnya sinar. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi.

Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi ada imbas kembali.

Hati remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi.

Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada.

Parut lama pastikan sembuh selagi iman terselit di dada.

Kekayaan yang paling kaya adalah akal, kemiskinan yang paling besar adalah jahil, keburukan yang paling hodoh adalah sesat.

Tidak berguna adanya mata andai tidak dapat melihat, tak guna adanya hati kalau tak tahu menilai.

Nilailah hati itu dengan teliti sebelum pergi mengundur diri kerana segalanya bermula dengan niat yang bertempat di hati.


www.iluvislam.com