Saturday, February 6, 2010

JABATAN MUFTI JOHOR FATWA : HUKUM UMAT ISLAM MENYAMBUT HARI KEKASIH ( Valentine’s Day )

bismillah..


HUKUM UMAT ISLAM MENYAMBUT HARI KEKASIH (VALENTINE’S DAY)

• Tanggal 14 Februari setiap tahun seluruh penduduk khususnya di Amerika dan Eropah akan meraikan Hari Valentine iaitu satu hari rasmi untuk menyatakan rasa kasih sayang kepada pasangan masing-masing.

• Ada yang saling bertukar-tukar bunga ros merah, mengirimkan kad ucapan dan hadiah, mengumandangkan lagu-lagu cinta dan asmara, membuat upacara tari-menari besar-besaran di disko-disko bersama minuman arak, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan sendiri demi membuktikan kesetian kepada teman masing-masing, sedangkan mereka tidak ada hubungan yang sah disisi agama yang mengharuskan mereka berbuat demikian.

• Tidak dinafikan ada umat Islam di Negara ini turut meraikan Hari Valentine. Mereka meraikan hanya kerana suka-suka dan terikut-ikut untuk mendapatkan keseronokan tanpa mengetahui asal-usul dan sejarah hari tersebut.

• “Hari Kekasih” yang dibawa oleh orang barat tanpa disedari bertujuan untuk melekakan serta merosakan akidah dan akhlak masyarakat Islam, kerana kebiasaannya senario menyambut “Hari Kekasih”berlaku dikalangan remaja Islam. Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun begitu ia boleh menyumbang kepada pelbagai kerosakan aqidah, akhlak dan budaya umat Islam sekiranya tidak ada sebarang tindakan dibuat untuk menyedarkan dan menginsafkan mereka.

• Harus diingati mengamalkan dan mengikut budaya asing tanpa mengetahui latar belakang perayaan itu sebenarnya akan menjerumus umat Islam kepada kehancuran. Hal ini kerana perlakuan seperti ini bukan saja menjejaskan akhlak orang Islam, bahkan boleh menjejaskan keimanan dan aqidah mereka.

KEPUTUSAN FATWA

Sehubungan itu, kertas kerja berkaitan dengan hukum umat Islam menyambut Hari Kekasih telah dibentang dan dibahaskan dengan teliti oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 25 Zulkaedah 1426 Hijriah bersamaan 27hb Disember 2005 Miladiah. Setelah dilihat dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa mengambil keputusan sebagaimana berikut :

Alhamdulillah fatwanya adalah seperti berikut :

“ AMALAN MERAYAKAN HARI KEKASIH(VALENTINE’S DAY) TIDAK PERNAH DIANJURKAN OLEH ISLAM. ROH PERAYAAN TERSEBUT MEMPUNYAI UNSUR-UNSUR KRISTIAN DAN AMALANNYA YANG BERCAMPUR DENGAN PERBUATAN MAKSIAT ADALAH BERCANGGAH DENGAN AQIDAH, SYARIAH DAN AKHLAK ISLAMIAH SERTA DILARANG OLEH ISLAM. OLEH ITU UMAT ISLAM ADALAH DILARANG DARIPADA MELIBATKAN DIRI DI DALAM MERAIKAN HARI TERSEBUT “.

NOTA : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-71 yang telah bersidang pada 20-22 Syawal 1426 Hijriah bersamaan 22-24 November 2005 di Kuching Sarawak, juga telah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam

ANTARA HUJAH KEPUTUSAN TERSEBUT ADALAH SEPERTI BERIKUT :

• Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan, budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.

• Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih saying dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.

• Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’ Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat aqidah Islam.

• Sekiranya seseorang Islam itu berhasrat untuk memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena dengan Valentine, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawa oleh Valentine’s Day.

• Kebanyakan golongan remaja Islam hari ini meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

• Valentine asal nama sebenar St.Valentino merupakan seorang paderi paling berpengaruh di zaman ratu Isabella di Sepanyol dan juga merupakan antara orang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol. Oleh itu ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari mengingati kemenangan kristian terhadap Islam. Maka, barangsiapa yang merayakannya seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.

• Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syara’. Ia bukannya yang menggalakkan kepada perkara yang mendorong atau merangsang kepada yang dilarang dan maksiat.

No comments:

Post a Comment