Wednesday, January 13, 2010

Cara Syaitan Menawan Manusia

Bismillah.....

Syaitan Laknatullah tidak akan penah jemu dan akan selalu berusaha untuk mensesat kn manusia. di sini ingin saya berkongsi pengetahuan mengenai musuh terbesar manusia iaitu syaitan laknatullah dan pintu-pintu yang membuka ruang kepada mereka untuk menyusupi hati manusia.

Pintu pertama: Marah

Sesungguhnya sifat suka marah sangat jelik. Marah yang melampau-lampau membuatkan seseorang itu bertindak tidak waras dan tidak rasional. Sesuai dengan kejadian syaitan yang diciptakan daripada api, marah juga diibaratkan seperti api yang membakar. Marah yang meluap-luap bukan sahaja membakar perasaan orang lain, malah lebih teruk lagi, ia memusnahkan dan membuka aib individu pemarah. Marah juga mengundang persengketaan sesama manusia.

Disebabkan itu, Rasulullah s.a.w menegaskan sekalian manusia supaya la taghdab “jangan (dikuasai) marah”.

Seorang wali Allah bertanya kepada Iblis:
“Cuba engkau terangkan bagaimana engkau menawan anak Adam?” Iblis menjawab: “ aku tawan dia ketika ia marah dan ketika ia bernafsu.”

Pintu kedua: Nafsu Syahwat

Salah satu faktor yang menyumbang kepada kewujudan ilmu ekonomi adalah “limited resources for unlimited human’s wants”. Definisi ekonomi ini memberikan kita gambaran bahawa benar sekali manusia itu mempunyai ghairah dan nafsu syahwat untuk memenuhi kehendak-kehendaknya yang tidak terbatas.

Konsep nafsu syahwat bukan sahaja merujuk kepada hubungan intim, tetapi juga merujuk kepada nafsu makan, nafsu kepada kekayaan dan lain-lain.

Jika manusia gagal untuk mengawal nafsunya sendiri, maka dengan mudahnya syaitan tanpa segan silu menyelinap dalam diri manusia dan seterusnya mengajak kita ke arah kemungkaran.

Walaupun demikian, terdapat beberapa kunci untuk mengawal nafsu dan menyekat kemasukan syaitan dalam diri manusia iaitu seperti berpuasa, infak, zikir dan sebagainya.

Pintu ketiga: Tergesa-gesa

“(Sifat) tergesa-gesa itu datangnya dari syaitan (manakala) cermat dan berhati-hati dari Allah Subhanahu Wata’ala.”

Sudah terang lagi bersuluh, tergesa-gesa merupakan sifat yang tidak patut ada pada diri setiap muslim. Ini kerana , sikap terburu-buru ini mendedahkan kita kepada perkara-perkara syubhah dan kesusahan.

Dalam aspek gerakan pelajar Islam, sikap gelabah ini mengundang fitnah dan tragedi dalam kehidupan jemaah keseluruhannya.

Pintu keempat: Hasad Dengki

Niccolo Machievelli, pemikir politik Barat telah mengatakan “end justifies the means”-matlamat menghalalkan cara dalam bukunya ‘The Prince’. Konsep ini tanpa ragu ditolak dalam Islam kerana ia mengundang kepada perasaan hasad dengki hanya semata-mata mahu memastikan matlamat diri tercapai walau melalui metode-metode yang membelakangkan hukum-hakam dan prinsip-prinsip syariah Islamiyyah.

Hasad dengki merupakan antara pintu masuknya syaitan ke dalam jiwa manusia. Sifat mazmumah ini menghilangkan kewarasan dan kebijaksanaan seseorang Muslim. Malah, kehadiran sifat ini menyebabkan seseorang itu senantiasa resah dan gelisah serta sakit hati kepada orang lain.

Pintu kelima: Kikir

Kedekut adalah perkataan lain bagi kikir. Sifat kikir ini sangat disukai oleh syaitan laknatullah kerana ia menyebabkan kita ragu-ragu dengan rezeki kurniaan-Nya yang Maha Ar-Razaq.

Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 268 yang bermaksud;

“Syaitan menjanjikan (menakutkan) kamu dengan (risiko) kepapaan, sentiasa menyuruh kamu melakukan kebejatan. (Akan tetapi) Allah menjanjikan untuk kamu keampunan dan kurnia daripadanya, dan Allah Maha Luas (kurnianya) dan Maha Mengetahui.”

Pintu keenam: Takabbur

Takabbur merupakan sifat syaitan dan iblis. Disebabkan sifat inilah, Iblis telah dilaknat dan tercampak ke bumi. “Ia berkata: Aku lebih daripadanya (Adam). Engkau jadikan aku dari api dan dia (Adam), Engkau cipta dari tanah.” Peristiwa itu juga telah membuatkan syaitan berdendam dan bersumpah akan mempengaruhi anak Adam supaya mengikut jejaknya ke arah kemungkaran.

Pintu ketujuh: Buruk Sangka terhadap Muslimin yang lain

Dalam surah Al-Hujurat, ayat 12, Allah Ta’ala telah berfirman yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman hindarilah dari (sifat) banyak berprasangka. Kerana sebahagian dari sangka-sangka itu adalah dosa.”

Sifat berprasangka buruk ini tidak nampak kebaikannya dalam hubungan persaudaraan sesama Muslimin. Malah, keburukannya sangat besar, dimana ia bukan sahaja mencantas hubungan sesama saudara seakidah malah merupakan fitnah terbesar dalam gerakan Islam dan agama Islam itu sendiri. Dengan adanya sifat ini, kaum Muslimin tidak mungkin akan bersatu yang mana pada akhirnya kita terjajah oleh manusia Kafir.

Sebagai kesimpulan, dapat kita rumuskan di sini bahawasanya terdapat beberapa pintu yang memberi ruang dan peluang kepada musuh utama manusia menyusp masuk dan melancarkan agendanya untuk mengajak manusia ingkar kepada Tuahan yang Maha Agung iaitu sifat marah, nafsu syahwat, hasad dengki, tergesa-gesa, kikir, takbbur dan berburuk sangka pada sesame Muslimin yang lain. kunci kepada pintu-pintu ini adalah sifat taqwa dengan senantiasa bertaqarrub dan berzikir pada-Nya. InsyaAllah. Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment